Amalan mudah menjemput rezeki
========================
Ingatan saya teringat pada seorang hamba Allah ini yang saya kenal di alam siber...melalui forum susuibu.com kalau saya tak silap.
Ukhwah menjadi lebih rapat apabila hamba Allah ini sanggup datang ke rumah kami di Melawati semata-mata nak berikan hadiah sebuah buku.
Masa tu kami dalam proses nak pindah dari KL ke Miri semula, kalau tak silap tahun 2009.
Hamba Allah ini memilih saya untuk dihadiahkan sebuah buku yang di dalamnya terdapat banyak rahsia alam.
Ianya bukan calang-calang buku tetapi ia adalah buku Asmaul Husna.
Hamba Allah ni siap berpesan pada saya, "Nanti akak amalkanlah Asmaul Husna yang saya dah lipatkan mukasuratnya untuk akak ya." Sapaannya yang lembut dengan wajahnya yang sangat tenang membuatkan saya rindu dengan hamba Allah ini.
Beliau turut berkongsi cerita benar yang emaknya alami selepas mengamalkan zikir Asmaul Husna tersebut. Memang nampak keajaiban bila beramal dengan keyakinan pada Allah yang satu.
Alhamdulillah berkat amal dengan istiqamah, rezeki datang dalam pelbagai bentuk masyaALLAH. Adakala rezeki yang datang itu tak terjangkau oleh akal manusia yang sangat terbatas.
Tahukah kalian zikir Asmaul Husna yang mana yang dikongsikan dalam muka surat yang berlipat itu?
YA WAHHAB yang bermaksud MAHA PEMBERI.
Antara yang tertulis dalam buku tersebut ;
Bila membaca Ya Wahhab 300 kali setiap hari atau selepas setiap solat fardhu, InsyaAllah anda akan dikurniakan kekayaan, kemakmuran dan kemasyhuran.
Jika anda mengamalkan solat sunat Dhuha dan membaca Ya Wahhab 41 kali di sujud yang terakhir, InsyaAllah anda akan dirahmati dengan harta yang banyak. Peluang akan datang dengan mudah sekali.
Namun diingatkan bersama, amalan perlu datang bersama usaha. Bukan hanya berpeluk tubuh mengharapkan rezeki jatuh dari langit tanpa perlu usaha.
Ramai kita hari ini telah menjadikan manusia tempat bersandar untuk dapatkan rezeki hebat.
Pergi ke kursus sana sini dengan harapan dapat tips untuk naikkan sales.... duit beribu habis tanpa sedar. Tapi bisnes takuk yang sama bertahun-tahun.
Hakikatnya rezeki ini dari Allah , bukan dari mana-mana sifu atau pakar marketing, tidak juga dari facebook atau IG.
Lebih baik lagi duit yang diperuntukkan beribu-ribu itu untuk kursus nak kaya itu dibuat sedekah pada ahli keluarga yang memerlukan [ yang berusaha membanting tulang tetapi masih memerlukan bantuan] atau mana-mana golongan asnaf. Ini lebih berhasil untuk memperolehi rezeki yang lebih hebat.
Masih saya ingat keratan akhbar yang arwah abah simpan masa saya kecil dan dilekatkan di meja kerja abah di rumah...
“Barang siapa meminjami Allah dengan pinjaman yang baik maka Allah melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah menahan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan.” (Qs. Al Baqarah: 245)
Ya dengan menginfakkan harta pada jalan Allah sesungguhnya menjemput lebih banyak rezeki.Wallahu alam.
♛ Salam sayang dari N2 @ Ibu Addinnasa
0 Ulasan