Bersyukur

Setiap manusia mempunyai berbagai-bagai pemberian (nikmat) dari Allah SWT. Pemberian-pemberian asas yang biasanya diperolehi oleh setiap orang ialah kesihatan, penglihatan, pendengaraan dan berbagai-bagai lagi pemberian semula jadi yang diberikan oleh Allah SWT. Dengan pemberian ini seseorang itu akan didorong untuk bersyukur atau berterima kasih.

Bersyukur ialah suatu tindak balas yang baik, sama ada melalui perkataan atau perbuataan terhadap kebaikan yang diterima oleh seseorang. Sesuatu kebaikan sering dibalas dengan perkataan yang baik, yang indah dan luhur serta perbuatan yang menggambarkan pemberian itu diterima dengan penuh penghargaan dan terima kasih.

Sebenarnya tidak ada sesiapa yang berhak menerima kesyukuran dan pujian, selain daripada Allah S.W.T yang menjadikan manusia dan seluruh mahluk. Terlalu besar nikmat dan pemberian yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hamba-hamba-NYA. Sungguh luas pemberian dan nikmat Allah itu. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

Katakanlah jika air lautan dijadikan dakwat untuk menulis kalimah-kalimah Allah S.W.T. akan keringlah air lautan sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan”
(Al-Kahfi: 109)

Bagaimanakah caranya kita bersyukur? Bersyukur kepada Allah SWT ialah dengan meletakkan keyakinan kepada-NYA dalam apa jua keadaan. Rasulullah s.a.w. meluahkan kesyukuran terhadap Allah S.W.T. dengan menggandakan ibadat dan membanyakkan solat.

Kesejahteraan hidup dan keamanan yang dinikmati oleh kita, merupakan kurniaan Allah S.W.T. Oleh itu kita mestilah sedar supaya menghargai keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran Negara. Budaya bersyukur akan mengelakan kita daripada lupa daratan dan menggunakan kemewahan untuk perkara membazir, melakukan maksiat dan membuat kerja-kerja tidak berguna yang mengakibatkan berlakunya kerosakan dan bencana kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Tanda bersyukur dalam perkhidmatan ialah dengan menjadikan khidmat kepada negara dan orang ramai sebagai ibadah. Iaitu mancari nafkah yang halal untuk diri dan keluarga bagi memenuhi kewajipan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Oleh itu gaji dan elaun yang diterima hendaklah bersih daripada sesuatu yang haram, seperti rasuah, tuntutan berlebihan daripada yang sepatutnya dan sebagainya.

Maksud firman Allah dalam Surah Al-Baqarah: 172:

“Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepada-Nya”

Bersyukurlah kita kepada Allah S.W.T dan jadikanlah perkhidmatan kita satu ibadah yang pahalanya akan berterusan.

Salam sayang dari ibu

Catat Ulasan

0 Ulasan