Berniaga, untung , rugi dan rezeki.

 Pernahkah saya ceritakan bahawa perniagaan terakhir arwah abah sebelum dia meninggal adalah berniaga ayam. Sebelum itu banyak juga perniagaan yang abah buat untuk menyara kami sekeluarga. Memang kagum dengan usaha abah membesarkan kami tujuh beradik. Dalam diam, banyak yang saya belajar tentang konsep berniaga, untung rugi , rezeki serta tak kurang juga keberkatan.

Sebab saya selalu suka bersembang dengan arwah abah, maka saya antara anak yang rapat dengan abah. Apa yang saya tak faham atau tak suka, saya luahkan walaupun memang adakala kena marah tapi saya gagahkan juga. Masih ingat lagi satu hari saya bertanya pada abah satu persoalan yang akhirnya buatkan saya matang terutama bila dah makin dalam dunia perniagaan. Perkara ini terjadi selepas beberapa bulan abah berniaga ayam hidup [ abah sembelih ayam, manakala mak dan adik2 tukang potong ayam dan saya jadi cashier] , tidak jauh dari tempat kami juga ada yang  berniaga ayam hidup. Saya yang ketika itu hanya baru 16-17 tahun dengan akal yang cetek bertanya pada arwah abah ;

" Abah , rugi la kita kan sebab pasti orang akan kurang datang beli dengan kita apabila kedai sebelah pun jual ayam'' kata saya....

Abah senyum dan menjawab " Nak, rezeki itu bukannya datang dari manusia. Hanya manusia yang jahil sahaja menganggap bahawa rezeki itu datangnya dari makhluk. Hakikatnya rezeki itu datang dari ALLAH. Maka barangsiapa yang beriman kepadaNYA, menunaikan tanggungjawab serta membahagikan sebahagian hartanya pada jalan ALLAH tidak akan rasa tergugat tentang rezeki yang ALLAH kurniakan."

Saya senyum dengan senyuman kelat...rasa terpukul kerana memberi soalan yang menunjukkan kebodohan diri. Abah pun memberi contoh tentang sungai Muar yang luas dan besar kerana ianya contoh yang mudah untuk saya fahami..." Mengapa ramai yang memancing ikan tidak boleh mengatakan bahawa sungai Muar itu kepunyaannya dan semua ikan adalah hak dia? Sebab sungai itu luas dan banyak ikan di dalamnya...setiap orang akan punya bahagiannya yang telah diaturkan oleh ALLAH."

Selepas itu ianya membuatkan saya membuka mata bahawa dalam dunia kita tak boleh ada fikiran bahawa hanya kita sahaja yang berhak berniaga manakala orang lain tak boleh berniaga hanya kerana kita dah meniaga barangan tersebut. Setiap kita mempunyai pilihan untuk membeli dari siapa melalui atas usaha penjual menjual produknya. Saya sendiri akan membeli dengan penjual yang pandai menarik hati saya untuk membeli. Jika penjual itu berlagak , sombong dan tidak boleh bertolak ansur, saya yakin pembeli takkan datang kembali untuk buat belian yang seterusnya.

Saya masih pegang kata arwah abah, rezeki ini datangnya dari ALLAH bukan dari makhluknya.
Jika kita berjual tetapi tiada pembeli, atau jualan merosot cuba muhasaah diri dengan beberapa perkara :
1) harga jual yang tidak lojik yang akhirnya pelanggan mencari alternatif membeli dengan orang lain
2) servis yang teruk kerana hanya pandai berjual tetapi tidak memberi penerangan lanjut atas barangan yang dijual.
3) tidak boleh bertolak ansur
4) pentingkan diri

Janganlah mudah nak menuding jari, dengan mengeluarkan kata-kata
" perniagaan saya merosot sebab si A jual murah"
ataupun
" perniagaan saya merosot sebab si B aniaya saya".
Ini kerana rezeki bukan datang dari makhluk.

Hakikatnya tanya pada diri dulu. Apakah kita benar-benar meletakkan usaha untuk melariskan jualan kita? Atau hanya duduk menunggu bulan jatuh ke riba?

Teringat saya pada seorang peniaga online merungut kepada saya....
" Oh bengangnya saya dengan si A sebab meniru bulat-bulat terma dan syarat yang saya buat di web saya" .
Senyum saya membaca mesej si kawan tadi. Hakikatnya, besar sangatkah impak terma dan syarat yang dia buat sehingga orang lain tidak boleh menyalinnya? Adakah sebab terma dan syarat itu mempengaruhi jualannya?
Bila saya memberi pendapat, si peniaga ini berkata, " saya tak kisah tapi minta la izin supaya berkat berniaga" ...dan saya membuat anggapan si peniaga ini masih belum matang dalam menilai istilah rezeki yang sebenar-benarnya. Hanya perkara kecil dijadikan satu isu yang besar.   
Pada saya ibarat kita pergi memancing, tiba-tiba ada antara pemancing yang nak minta satu mata kail...takkan kerana memberi satu mata kail maka kita akan hilang satu tangkapan? Tidakkah kita sedar dengan memberi satu mata kail, ALLAH membukakan lebih luas rezeki dalam bentuk yang lain?
Perjalanan dalam perniagaan tidak semudah kita belajar ABC, banyak ragam manusia yang kita temui untuk mematangkan fikiran kita secara langsung mendekatkan diri dengan ALLAH s.w.t. Melalui berniaga juga mengajar kita muhasabah diri dan amalan diri. Semoga ALLAH memberi taufik dan hidayah dalam setiap urusan kita. Hanya orang yang sabar dan istiqamah sahaja akan jumpa pintu kejayaan.
















Boleh email kepada saya di nnorita78[@]yahoo.com atau sms kan kepada saya 012-8535689 untuk konsultasi percuma. Salam sayang dari Ibu Addinnasa

Catat Ulasan

0 Ulasan