Antioksidan dan manfaatnya


Sumber Berita : Utusan Malaysia, 2005-06-16

ANTIOKSIDAN, antara istilah kesihatan yang semakin meluas diperkatakan. Mungkin ada di antara pembaca yang pernah terserempak dengan `antioksidan' ketika sedang tercari-cari suplemen kesihatan atau barangan kecantikan di farmasi atau pasar raya. Selain itu, `antioksidan' juga sering muncul pada iklan dalam akhbar tempatan.

Ada juga di antara kita yang keliru apabila mendengar celoteh `promoter' bercerita tentang suplemen antioksidan yang dikatakan banyak manfaatnya untuk tubuh badan.

Bagi mereka yang sering mengikuti perkembangan produk kesihatan, tentunya tahu serba sedikit, apa yang dikatakan antioksidan. Namun begitu, sejauh manakah kita tahu akan kepentingan antioksidan pada kita?

Antioksidan

Merujuk kepada satu sumber penulisan, antioksidan merupakan sekumpulan bahan yang dihasilkan oleh badan dan juga secara alaminya, terdapat pada kebanyakan makanan, terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran seperti lobak, tomato, bayam, brokoli, kentang dan sayur-sayuran hijau adalah antara sumber yang kaya dengan antioksidan.

Antioksi dan sama pentingnya seperti vitamin dan mineral. Beta karotin, vitamin A, C, E, koenzim Q10, asid lipoik dan selenium adalah merupakan antara contoh antioksidan. Bahkan, vitamin, mineral, koenzim dan molekul-molekul kecil seperti glutation, koenzim-Q10 dan asid lipoik, dihasilkan oleh badan.

Antioksidan merupakan elemen yang diperlukan oleh badan untuk menghalang dan melindungi sel-sel badan daripada kerosakan oksidatif oleh radikal bebas yang lama-kelamaan akan mengakibatkan masalah penuaan seperti katarak, artritis dan penyakit Alzheimer's dan juga pelbagai penyakit lain seperti kanser dan alahan (alergi).

Radikal bebas adalah atom atau kumpulan atom yang mengandungi sekurang-kurangnya satu elektron. Lazimnya, ia terhasil daripada pencemaran. Alkohol dan dadah juga merupakan penyumbang radikal bebas pada badan. Dan, adakah anda tahu, radikal bebas juga terdapat pada bahan kimia yang ditambah ke dalam makanan seperti bahan pengawet, pewarna tambahan dan sisa racun serangga.

Sedari Kepentingannya

Beta-karotin merupakan molekul yang berubah menjadi vitamin A apabila diproses dalam badan dan ia juga adalah antioksidan yang bermanfaat untuk penglihatan dan menangani kanser pada sel.

Vitamin A dan E, adalah vitamin larut lemak dan penting untuk mata dan kulit yang sihat. Simptom-simptom seperti rabun malam, kulit kering dan mudah terkena jangkitan, menunjukkan kekurangan vitamin A dalam badan.Vitamin E atau tokoferol penting dalam pembentukan sel darah merah. Kekurangan vitamin E akan mengakibatkan anemia, iaitu penyakit pemusnahan sel darah merah yang banyak. Ia juga berupaya menghalang kanser dan mengatasi masalah aterosklerosis .

Vitamin C, vitamin larut air yang berupaya meningkatkan sistem pertahanan badan. Vitamin C atau nama lainnya, asid askorbik adalah antara vitamin yang diperlukan untuk perkembangan sel badan dan membantu penyerapan zat besi dalam badan. Kulit yang mudah lebam, gusi yang sering berdarah, luka yang lambat sembuh dan mudah terkena jangkitan adalah antara tanda kekurangan viatamin C dalam badan.

Catat Ulasan

0 Ulasan