Masih teringat lagi satu scene yang saya lihat semasa kami berada di dalam Mc Donald di sebuah bandar.... seorang ibu dengan penuh senyuman memuji anaknya yang pada pandangan saya berada dalam lingkungan 4 tahun meneguk air cola dalam saiz yang besar. Puteri itu sangat comel tapi sayangnya pada penglihatan saya anaknya terlalu kurus atau dengan erti kata lain underweight. Mungkin si ibu ini kurang peka atau mungkin tidak mengambil berat dengan pemakanan anaknya itu. Menurut sebuah artikel yang pernah saya baca pemakanan merupakan faktor terbesar yang mempengaruhi perkembangan dan pembesaran seseorang individu. Sekiranya dalam usia yang sangat muda sudah kita perkenalkan dengan air berkarbonat bagaimana agaknya dengan cara hidupnya selepas 10 atau 20 tahun akan datang?
Bersama-sama ini saya sertakan artikel yang saya perolehi untuk tatapan kita semua.
Makanan segera memang wajar digelar makanan remeh. Memandangkan hakikat inilah syarikat-syarikat makanan membelanjakan berjuta-juta ringgit ke atas iklan, penajaan dan promosi untuk meyakinkan orang ramai perkara sebaiknya. Tempat-tempat perniagaan (restoran) mereka didakwa menjadi tempat hiburan untuk kanak-kanak dan keluarga, mengikut aliran semasa dan kita diberitahu makanan itu selamat dimakan dan berkhasiat.
Kami tidak mengatakan semua makanan segera adalah makanan remeh. Ia sememangnya makanan tetapi mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan yang dinikmati sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap dimakan, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi pemakanan. Tanpa disedari, ia akan mendedahkan anda sekeluarga kepada pelbagai penyakit - mula-mula kerosakan gigi, sembelit, tubuh menggeleber, kegemukan... diikuti oleh tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung malah mungkin kanser usus besar.
Untuk menunjukkan kepada anda kandungan sebenar makanan segera, di sini disenaraikan makanan ringan (snek) yang biasa anda pesan di sesebuah restoran:
Burger daging (1/2 paun) boleh mengandungi 2 oz lemak tulen. Ia membekalkan protein, zat besi, vitamin B12. Sedikit serat tetapi banyak penambah kimia.
Ayam goreng: Kaya dengan lemak (hampir 60% kalori diperolehi dari lemak). Banyak garam. Ia membekalkan protein, niasin dan vitamin B6. Bahan yang menyalutkannya mengandungi MSG dan pewarna kimia.
Kentang goreng: Ubi kentang membekalkan protein dan vitamin C. Terlalu banyak lemak dan garam. Warna keemasannya adalah tiruan.
Milk Shake: 5 oz susu di dalam 10 oz shake, bercampur udara dan air. Proses ini memerlukan bahan pemekat kimia, penstabil dan pengemulsi. Ia juga mengandungi perisa dan pewarna kimia. Susu membekalkan protein dan kalsium, dan lapan sudu teh gula di dalam bekas yang sederhana besarnya.
Cola: Amat kaya dengan gula (bekas besar mengandungi 14 sudu teh gula). Pewarna kimia dan kafein. Nilai makanan: kosong.
Secara keseluruhan, kita dapat lihat terdapat sejumlah protein, zat besi, kalsium dan beberapa vitamin yang baik. Namun kebanyakan bahan itu tinggi kandungan kalorinya, direndam dalam lemak dan dipenuhi gula dan garam. Ia kekurangan serat dan kebanyakan vitamin serta zat galian perlu. Apa yang kurang ialah keseimbangannya.
Satu sajian makanan segera membekalkan anda separuh kalori dan dua pertiga lemak serta protein yang anda perlukan sepanjang hari. Tetapi jika anda mengambil sajian makanan ini sebagai makanan ringan, di antara sajian tetap anda, anda akan mendapat lebih banyak kalori, protein, lemak daripada yang diperlukan tubuh. Anda akan kekurangan sesetengah zat makanan perlu yang membentuk diet lengkap dan seimbang.
Lemak
Sebiji burger boleh mengandungi sebanyak 35% (atau mungkin lebih) lemak. Kentang goreng dikatakan lebih baik (dari segi khasiat) daripada ban yang diperbuat daripada tepung putih halus tetapi ia direndam dalam lemak, biasanya lemak tepu, yang menggalakkan penyakit jantung. Lebih buruk, ia biasanya disediakan separa masak di dalam lemak dan kemudian dimasak sekali lagi sebelum dihidangkan. Jumlah berganda di dalam satu hidangan ini boleh mengandungi di antara 11 dan 16 g lemak.
Bagi keju yang dihiaskan di atas makanan, ia bermakna lebih banyak lemak. Malahan ia bukanlah keju sebenar tetapi cebisan-cebisan keju bercampur garam, gula, pengemulsi, asid laktik, pengawet, pewarna dan bahan penambah lain.
Jangan menyangka ayam dan ikan kurang lemak. Ia juga digoreng dengan menggunakan banyak minyak di mana kebanyakkannya sama buruknya.
Jadual 1. Lemak di dalam makanan segera
Makanan Jumlah lemak ( ) Bahagian kalori daripada lemak (%)
Big Mac McDonald's 54 g (27 g)
59
Aiskrim vanilla Baskin Robbins 100g (12 g) 52
Burger King Whopper 36 g ( 12 g) 52
Ayam goreng Kentucky (4 ketul) 45 g ( 12 g) 58
Burger McDonald's bersama keju 25 g ( 12 g) 46
Fillet-o-fish McDonald's 26 g ( 7 g) 56
Sumber : Tim Lobstein (dari Suruhanjaya Makanan London), Fast Food Facts, Camden Press Ltd., London, 1988.
Kandungan daging
Anda mungkin menyangka sebiji burger hanyalah daging cincang. Namun definisi daging bagi industri makanan segera tidak sama dengan apa yang anda sangkakan. Tanpa mengambil kira bahagian lemak, daging itu tidak semestinya daging semata-mata. "Daging tanpa lemak" boleh (secara haram) termasuk tulang, kulit, rawan dan urat, lidah, usus dan organ-organ lain serta ekor yang dikisar. Ia juga boleh termasuk daging yang diperolehi dengan menggunakan mesin: diperbuat daripada sisa-sisa yang dipotong dan lemak yang dikikis daripada haiwan sembelihan oleh mesin. Bahan-bahan ini kemudiannya dikisar dan diadun menjadi adunan cair dengan menggunakan pengemulsi dan pemekat.
Sebiji burger boleh mengandungi daripada 50% hingga serendah 25% "daging tanpa lemak" sedemikian. Burger lain dicampurkan lemak dan ramuan-ramuan bukan daging seperti biskut garing (rusk) dan tepung kacang soya serta serbuk bawang. Campuran itu disebatikan dengan pengemulsi/pemekat (seperti selulos atau palpa kapas, rumput laut atau gam pokok), menjadikannya kelihatan menarik dan lazat dengan pewarna tiruan seperti Tartrazine, gula, perisa kimia, MSG dan garam.
Pada 1989, CAP menguji 9 contoh burger beku dari pasar raya dan mendapati sejumlah besar lemak dicampurkan. Jumlah ini dalam lingkungan 11- 24% (iaitu 9 hingga 18 g lemak tepu tulen di dalam sebiji burger sederhana saiznya kira-kira 75 g), berbanding dengan protein yang terdiri daripada 12 - 18%. Yang lain merupakan isi bukan daging, biasanya roti yang sudah berkulat.
Garam
Secara purata seseorang itu memerlukan tidak lebih daripada 5 g atau satu sudu teh sehari. Kebanyakan jumlah ini terdapat di dalam makanan secara semula jadi. Menurut satu kajian oleh Suruhanjaya Makanan London, sebiji Big Mac boleh mengandungi 2 hingga 3 g garam, sementara tiga ketul ayam goreng Kentucky boleh mengandungi 3 hingga 4 kg.
Gula
Kebanyakan makanan segera amat manis. Malah bahan makanan yang tidak manis mengandungi gula kerana banyak pengeluar menggunakan gula untuk menyedapkannya.
Bahan makanan Jumalh gula (%) Bil. sudu teh
Pai epal digoreng dengan banyak minyak 15 3
Milk shake (kecil) 8 - 12 3
Cola 11 14
Daging dalam ban bijan 6 3
Pizza keju dan tomato 3 2
Sumber : Fast Food Facts, Camden Press Ltd., London, 1988.
Serat
Serat terkandung di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang yang memainkan peranan penting di dalam perut. Sesetengah serat melegakan sembelit, atau baik dalam penyerapan kolesterol, dengan itu membantu mengurangkan kolesterol di dalam darah. Ia juga membantu mencegah penyakit jantung dan sesetengah kanser terutamanya usus. Makanan segera begitu banyak diproses, ia hampir tidak mengandungi serta diet. Tidak terdapat di dalam burger, ikan dan ayam. Ban biasanya kurang serat, jika ia berwarna putih dan manis. Hanya ban yang mengandungi kepingan-kepingan salad seperti makanan seimbang kepada pelanggan.
Vitamin dan zat galian
Jangan terpedaya dengan dakwaan tentang vitamin dan zat galian di dalam makanan segera. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori anda makan pada masa yang sama. Terdapat sedikit zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan milkshake, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun dalam sehari, anda perlu mengunyah empat burger seberat suku paun tiap satu untuk mendapatkan cukup zat besi, 15 paket kentang goreng untuk mendapatkan cukup vitamin C dan menyedut 10 shake bagi mendapatkan kalsium secukupnya.
*******************
Kesimpulannya, untuk mendapatkan zat secukupnya daripada makanan segera, anda mungkin menjadi terlalu gemuk hingga sukar duduk di atas kerusi plastik restoran McDonald's!
Makanan berbahaya : panduan CAP mengenai bahaya tersembunyi dalam makanan - Pulau Pinang : Persatuan Pengguna Pulau Pinang, 1999. Ms 242 - 247
0 Ulasan