Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Adakah kita punya masa setiap hari untuk muhasabah setiap apa yang kita lakukan? Adakah kita telah bersifat adil kepada diri sendiri dengan masa yang diperuntukkan untuk diri sendiri dan masa untuk pencipta?
Adkah kita sedar bahawa adakala setiap ujian dan dugaan yang datang adalah akibat kelalaian kita terhadap Allah?
Memang bukan senang untuk kita menerima hakikat bahawa segala musibah, bala atau kesakitan yang kita lalui adalah kifarah atas kesilapan yang kita lakukan. Namun jika kita fikirkan dengan rasional,segala bentuk musibah, bala, ujian dan kesakitan itu adalah "teguran" dari Allah.
Sebab itu kita disarankan membanyakkan membaca istighfar.
Astaghfirullah Hal Azim.
Astaghfirullah Hal Azim.
Astaghfirullah Hal Azim.
Perlukah ber istighfar?
Mungkin dalam urusan harian kita, kita tidak ada menyakiti orang lain, namun adakala perilaku kita tanpa kita sedari menghilangkan KEBERKATAN dalam kehidupan harian kita.
Tertarik dengan cerita tentang Khalifah Umar Abdul Aziz....
Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’. Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. Sejak kecil lagi beliau didik dengan ilmu agama. Minat dan kecenderuangan beliau kepada ilmu, membawa beliau ke kota Madinah. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu. Semasa pemerintahan al-Walid ibn Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun. Di sini beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam selepas Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w. kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”
Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan kerajaan dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil. Hamba sahaya milik keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua barang kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah dihias secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama sekali, kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan dengan kehidupan yang penuh zuhud dan kesederhanaan.
Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat, beliau dapati hanya bawang dan kacang sahaja yang terdapat dirumahnya. Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau bawang. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakkku adakah kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam neraka?”
Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu, namun tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan haji telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama. Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian beliau memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga Umar Abdul Aziz datang untuk lewat menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa menunggu bajunya yang sehelai itu kering.
Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.
Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan. Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn Sa’id meriwayatkan, Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika, setelah selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada zakat, tatapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi pihak kaum muslimin.
Umar Abdul Aziz selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai orang bukan Islam memeluk Islam.
Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan yang lebih besar lagi dalam kerajaannya iaitu mangubah kecenderungan dan sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.
Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga ada orang mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima bulan memayungi umat Islam dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Bagaimana beliau seorang yang bersederhana dalam semua aspek kehidupan beliau. Mampukah kita menjadikan beliau sebagai idola kita?
Sekadar peringatan bersama buat kita semua.... pergunakanlah hak kita sebaiknya.
Saya juga mengingatkan diri saya setiap masa tentang KEBERKATAN. Marilah kita sama-sama muhabasah dalam apa juga yang kita lakukan.
Berikan HAK kepada yang berhak. Maka janganlah kita lupa kewajipan berzakat dan tuntutan sunat muakad iaitu bersedekah. Mengeluarkan zakat dan bersedekah tidak sedikit pun menjadikan kita miskin kerana ia membantu hati kita kaya dengan sifat memberi.
Janganlah menggunakan yang BUKAN HAK ...jika mahu mencari pendapatan sampingan, jangan biasakan menggunakan harta kerajaan atau syarikat kerana ia mengurangkan KEBERKATAN rezeki yang kita perolehi.
Pengalaman menjadi guru dulu, masih ingat pesanan Guru Besar sek terhadap cikgu-cikgu yang sibuk berbiz dalam pelaburan....bukan tidak boleh nak cari side income namun jangan gunakan masa mengajar kerana kamu sebenarnya MENCURI waktu bekerja.
Khalifah Umar Abd Aziz adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.
Adakala tanpa kita sedari perilaku dalam urusan harian kita sebenarnya menjadi punca kepada ujian dan musibah yang datang...namun sebagai manusia biasa kita sangat suka menuding jari berbanding melakukan muhasabah pada diri sendiri.
Astaghfirullah Hal Azim.
Astaghfirullah Hal Azim.
Astaghfirullah Hal Azim
Akhir kata:
”Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarrahpun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula” (QS Al-Zalzalah: 7-8).
Salam sayang dari ibu
0 Ulasan